Thursday 4 June 2020

PERKONGSIAN NOTA KULIAH (102/2020): LARANGAN MENGAMBIL HARTA ANAK YATIM



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّ حِـــــــيمِ
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Tafsir Al-Quran@Radio IKIM, 6.30-6.45 pagi: 1 Jun 2020 / 8 Syawal 1441H (Isnin) oleh Ustaz Ikmal Zaidi Hashim (Imam Masjid Putra, Putrajaya).

Sumber: Tafsir surah an-Nisa ayat 2.

●Pendahuluan

تَقَبَّلَ اللّهُ مِنَّا وَمنِْكُمْ صِيَامَنَا وَصِيَامَكُمْ,
كُلُّ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيْرٍ. اَللّهُمَّ اجْعَلْنَا وَإِيَّاكُمْ مِنَ العَاءِدِيْنَ وَالفَاءِزِيْنَ وَالمَقْبُوْلِيْنَ.
إن شاء الله.. آمين يا رب العالمين..

-Marilah kita sama-sama merafakkan syukur kepada Allah atas segala nikmat kurniaanNya terutamanya nikmat Iman dan Islam. Kita perbanyakkanlah mengucap alhamdulillah. Segala puji hanyalah milik Allah.

-Kita buktikan kesyukuran kita dengan mentaati segala perintahNya dan meninggalkan segala larangannya.

-Mudah-mudahan Allah beri hidayah dan ampunkan segala dosa-dosa dan menerima segala amalan kita. Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang taat dan bertaqwa. Semoga Allah pandang kita dengan pandangan belas kasihan.

-Semoga kita dikurniakan kecerahan hati dan minda untuk memahami ayat-ayat Allah.

-Semoga kita menjadi hambaNya yang kuat berusaha untuk menambah ketaqwaan.

-Surah An-Nisa, ayat 2: “Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.”

HURAIAN:
-Ayat ini adalah arahan supaya harta anak yatim dipelihara dan diberi kepadanya apabila telah boleh menguruskannya sendiri.


-Kalimah “waatu” ia bukan sahaja bererti seruan supaya memberi harta anak yatim yang menjadi hak mereka semata-mata tetapi juga arahan untuk menjaga harta anak yatim ketika mereka masih kecil. Harta yang dijaga itu kemudiannya diserahkan bila telah layak menerima dan tahu menguruskannya sendiri.

-Kemudiannya dalam ayat ini, Allah berfirman, “Janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk.”

-Iaitu bagi orang yang menjaga harta anak yatim, bukan sahaja tidak boleh mengambilnya tetapi juga tidak boleh berkeinginan yang menyebabkan mengambilnya dan menggantikannya dengan memberikan harta yang buruk (tidak berni
lai).
-Maka adalah merupakan amanah yang besar bagi yang menjaga harta anak yatim.

-Iaitu harta anak yatim yang masih kecil kerana bapanya telah meninggal dunia perlu dijaga dan tidak disalah gunakan.

-Allah melarang perlakuan menukar ganti harta yang baik dengan yang buruk. Iaitu jangan kita ambil harta anak yatim untuk mendapat keuntungan dan tinggalkan yang hina untuk anak yatim.

-Kata Imam al-Qartubi, pada zaman jahilliah terdapat banyak harta anak yatim disalahgunakan dan yang ditinggalkan adalah yang hina serta tidak bernilai.

-Maka amalan jahilliah tersebut telah dihalang oleh Allah melalui firmanNya dan hadith Nabi saw.

-Satu lagi perintah Allah dalam ayat ini ialah larangan menceroboh harta anak yatim iaitu dengan mengambil dan mencampurkan dengan harta milik mereka. Ia juga larangan untuk mengambil manafaat daripada harta anak yatim, termasuk mencurinya.

-Dilarang memakan harta anak yatim itu termasuk digunakan untuk menjadi asbab bagi mendapat kemewahan dan berseronok-seronok denganya.

-Jadi, jangan sekali-kali mengumpulkan harta anak yatim dengan harta kita kerana dibimbangi mengambilnya kerana telah bercampur aduk. Sekiranya telah bercampur maka akan ada kecenderungan akan terpakai dan apatahlah jika meninggal dunia secara mengejut dengan tidak mempunyai perincian wasiat dan dokumensi yang berkaitan.

-Justeru, ingatlah bahawa Allah hanya halalkan memakan harta kita sahaja dan tidak kepada harta anak yatim.

-Maka perintah Allah untuk orang yang menjaga harta anak yatim atau memelihara anak yatim ialah untuk menjauhi daripada menyalah guna harta dan anak yatim. Mereka adalah insan yang Allah muliakan, justeru perlu dibela kehidupan dan dibina masa hadapan mereka.

-Maka larangan ini ditegaskan dalam firman Allah, “Kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.”

-Iaitu menunjukkan bahawa memakan harta anak yatim dengan apa sekali cara pun adalah satu dosa yang besar. Ia adalah perbuatan menceroboh dan mengambil kesempatan atas insan-insan yang lemah.

RUMUSAN:
Dalam ayat ini Allah memerintahkan untuk:
i. Menyerahkan harta anak-anak yatim kepada mereka apabila telah mencapai masa baligh secara sempurna,
ii. Melarang memakan harta anak yatim,
iii. Melarang menggabungkan harta anak yatin dengan harta mereka. Allah berfirman: “Dan janganlah kamu menukar yang baik dengan yang buruk.”
-Sufyan ats-Tsauri mengatakan dan Abu Shalih: “Janganlah engkau tergesa-gesa dengan rezeki yang haram sebelum datang kepada mu rezeki halal yang ditakdirkan untuk mu.”

-Said bin Jubair berkata: “Janganlah kalian menukar harta haram milik orang lain dengan harta halal dari harta kalian.” la juga pun berkata: “Janganlah kalian mengganti harta kalian yang halal dan memakan harta-harta mereka yang haram.”

-Sedangkan Sa’id bin al-Musayyab dan az-Zuhri berkata: “Janganlah engkau memberi sesuatu yang kurus dan mengambil sesuatu yang gemuk.”

-Ada pun Ibrahim an-Nakha’i dan adh-Dhahhak berkata: “Janganlah engkau memberi sesuatu yang palsu dan mengambil sesuatu yang baik.”

-Dan as-Suddi berkata: “Salah seorang di antara mereka mengambil kambing anak yatim yang gemuk lalu sebagai gantinya ia memberi kambing yang kurus kering sambil berkata: (Yang penting) kambing dengan kambing.’ Serta ia pun mengambil dirham yang baik dan menggantinya dengan dirham yang buruk dan berkata: ‘(Yang penting) dirham dengan dirham.

-Firman Allah: “Dan janganlah kamu makan harta mereka bersama harta mu.”

-Mujahid, Said bin Jubair, Ibnu Sirin, Muqatil bin Hayyan, as-Suddi dan Sufyan bin Husain berkata: “Ertinya, janganlah kalian campur harta tersebut, lalu kamu makan seluruhnya.”

-“Sesungguhnya usaha mu yang memakan harta mereka bersama harta mu adalah sebuah dosa besar dan kesalahan besar, maka jauhilah oleh mu.”

●Penutup
i. Justeru, prinsip melaksanakan amanah ini adalah penting. Adalah dilarang mengambil kesempatan atas ketiadaan orang yang memelihara anak yatim.

ii. Maka ayat ini menunjukkan bahawa Allah memuliakan anak yatim. Justeru kita dimintakan untuk memuliakan anak yatim, apatah lagi jika mereka adalah di kalangan kaum kerabat kita. Ini terutamanya supaya mereka dapat hidup dan belajar dengan baik.

iii. Maka bila kita telah tahu tuntutan agama agar menjaga harta anak yatim, maka hendaklah laksanakan dengan penuh amanah sehingga sampai masanya diserahkan kepada mereka untuk menguruskan sendiri.

iv. Moga kita menjadi insan-insan yang dapat memelihara harta anak yatim dengan penuh taufik dan hidayah.

“Demi jiwa-jiwa yang kembali suci,
Demi hati yang kini putih-fitri,Demi Takbir yang menggema di langit Ilahi.
Semoga *kemenangan* ini menjadi hakiki. “

May Allah give us ability to practice what had been said/written

اَمِين يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن

Wassalam.

No comments:

Post a Comment