السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ
اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ
ٱلرَّ حِـــــــيمِ
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد
وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Tafsir Al-Quran@Radio IKIM, 6.30-6.45
pagi: 5 Jun 2020 / 13 Syawal 1441H (Jumaat) oleh Ustaz Ikmal Zaidi Hashim (Imam
Masjid Putra, Putrajaya).
Sumber: Tafsir surah an-Nisa ayat 5:
●Pendahuluan
-Marilah kita sama-sama merafakkan
syukur kepada Allah atas segala nikmat kurniaanNya terutamanya nikmat Iman dan
Islam. Kita perbanyakkanlah mengucap alhamdulillah. Segala puji hanyalah milik
Allah.
-Kita buktikan kesyukuran kita dengan
mentaati segala perintahNya dan meninggalkan segala larangannya.
-Mudah-mudahan Allah beri hidayah dan
ampunkan segala dosa-dosa dan menerima segala amalan kita. Semoga kita sentiasa
menjadi hambaNya yang taat dan bertaqwa. Semoga Allah pandang kita dengan
pandangan belas kasihan.
-Semoga kita dikurniakan kecerahan
hati dan minda untuk memahami ayat-ayat Allah.
-Semoga kita menjadi hambaNya yang
kuat berusaha untuk menambah ketaqwaan.
-Surah An-Nisa, ayat 5: “Dan
janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna
akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah
telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan
berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu
niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.”
HURAIAN:
-Kalimah al-sufaha adalah merujuk
kepada insan yag lemah atau tidak mampu mengurus diri dengan sempurna.
-Kalimah al-sad pula ia merujuk
kepada kata jamak kelemahan yang berlaku. Iaitu dalam aspek menguruskan harta
ia akan kehilanganya kerana tidak bijak akal dan kekurangan keupayaan
menyebabkan tidak memperolehi manafaatnya di dunia mahu pun di akhirat.
-Kalimah “qiyaaman mashdar” dari
qaama adalah bererti suatu keadaan buruk/keburukan yang berlaku dalam kehidupan
kerana menghabiskan harta bukan pada tempatnya.
-Terdapat perbezaan pendapat tentang
kepada siapakah ayat ini ditujukan.
-Ada yang berpendapat ayat ini ianya
ditujukan kepada penjaga anak yatim, anak yatim dan harta anak yatim.
-Jadi maksudnya penjaga anak yatim
tidak boleh memberi harta anak yatim kepada anak yatim yang belum sempurna akal
dan kematangan bagi menguruskan hartanya. Ini kerana ditakuti harta itu tidak
diuruskan dengan bijak dan akan habis tanpa dapat memberi manafaat yang
sewajarnya. Iaitu ia tidak dapat digunakan dengan baik untuk kehidupan yang
sempurna.
-Selain itu, terdapat juga ulamak
yang berpandangan bahawa penjaga harta anak yatim hendaklah menjaga harta anak
yatim yang dijagai seperti mana ia menjaga hartanya sendiri. Iaitu ia perlu
mengelakkan daripada menyalah gunakannya dan kehilangan.
-Pandangan yang lain pula menyatakan
bahawa ayat ini ditujukan kepada ayah. Iaitu ayah perlu menjaga harta yang
dipunyai dan jangan memberi harta kepada anak yang belum pandai menguruskan
hartanya sendiri.
-Ini kerana jika diberi juga maka ia
akan membawa lebih kemudaratan bahkan menghilangkan harta yang diperolehi tanpa
mendapat menafaat yang sepatutnya bahkan keburukan. Sedangkan sepatutnya harta
itu patut digunakan untuk kebaikan seperti untuk pendidikan, kesihatan, menjana
pendapatan, pelaburan dan seumpamanya.
-Syeikh Tantawi menyatakan bahawa
ayat ini boleh diletakkan dalam konteks umum, iaitu kepada pentadbir apa jua
harta di semua peringkat termasuk negara. Manakala golongan yang lemah, tidak
sempurna akal atau belum pandai pada konteks umumnya adalah meliputi kepada
semua keadaan iaitu ayat ini tidak sahaja ditujukan untuk kes anak yatim
sahaja.
-Ada pun berkaitan harta pula, ianya
juga ditujukan kepada semua orang yang memiliki harta.
-Harta yang ada pada kita adalah yang
kita miliki secara khusus dan sempurna. Namun disebalik itu ada juga yang boleh
kita manafaatkan untuk ummah dan sejagat. Pastinya dalam harta sikaya ada hak
si miskin dan pelbagai golongan yang memerlukan samada dalam bentuk zakat,
sedekah atau hadiah.
-Justeru, nikmat dan harta yang kita
miliki jika diuruskan dengan baik boleh juga membantu membangunkan ummah termasuk
mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada usaha dakwah dan
fisabilillah. Dalam sirah banyak tokoh-tokoh ulung yang berjaya dan membantu
dakwah Islam seperti sahabat Nabi saw, iaitu Saidina Abdul Rahman bin Auf ra
dan lain-lain.
-Demikian juga sebaliknya, jika siapa
yang memiliki harta kekayaan tetapi tidak diuruskan dengan baik maka ia bukan
sahaja membawa keburukan kepada dirinya tetapi juga kepada ummah dan sejagat,
termasuklah berlakunya kemudaratan dan ketidakcukupan.
-Secara umumnya orang yang
mempunyai/menjaga harta, Allah menetapkan tiga perkara:
i. Jadikan harta kamu miliki itu
bermanafaat. Ianya untuk dinikmati bersama anak keluarga kamu dan yang
memerlukannya terutamanya kaum kerabat.
ii. Harta yang dimiliki boleh
diperkembangkab seperti dilaburkan dalam perniagaan sehingga mendapat
keuntungan yang banyak. Maka ia dapat menghasil produk yang diperlukan ummah,
mewujudkan peluang pekerjaan dan seterusnya lebihan keuntungan boleh
disumbangkan kepada yang memerlukan.
-Jadi, kita perlu memperbanyakkan dan
menggandakan harta kekayaan kerana di situlah ada rezeki orang lain untuk
digunakan untuk kehidupan. Untuk membeli makanan, pakaian, belajar dan
seumpamanya.
-Jelaslah bahawa ayat kelima surah
An-Nisa ini tidak menyuruh kita gunakan harta hingga habis untuk diri sendiri
sahaja. Harta yang kita ada adalah juga untuk manafaat orang lain.
iii. Hendaklah berkata-kata dengan
kata-kata yang baik dan mulia.
Jadi, Allah menujukan kepada orang
yang mempunyai harta termasuk penjaga harta, ayah dan seumpamanya supaya
berkata-berkata dengan yang baik kepada golongan as-sufahah. Iaitu bila memberi
makan pakai dan apa jua corak bantuan hendaklah diberi yang baik dan disertai
dengan wajah yang manis dan kata-kata yang baik. Maka berilah dengan ikhlas dan
janganlah mengungkit-ungkit.
-Memang tabiat manusia suka kepada
harta dan payah untuk memberi kepada orang yang memerlukan.
-Selanjutnya kita akan melihat
hukum-hukum yang berkaitan dengannya dalam kuliah yang akan datang.
RUMUSAN:
i. Allah mengajar kita supaya jangan
menyerahkan harta anak yatim kepada anak yatim itu sehingga dia sudah boleh
menguruskan hartanya sendiri.
ii. Sekiranya kita diamanahkan dengan
harta anak yatim yang kecil lagi atau dia sudah besar tetapi tidak pandai
menguruskannya sendiri jagalah ia sebaiknya sebelum mereka bersedia memguruskan
sendiri.
iii. Islam amat menjaga kepentingan
harta. Harta itu sendiri bukanlah buruk kerana ia diperlukan untuk kehidupan.
Harta menjadi masalah kalau ianya digunakan untuk benda yang salah atau jika
kita lupa diri dan lupa agama bila dikurniakan dengan harta yang banyak.
iv. Maka tidak salah untuk kita
mempunyai harta yang banyak, tetapi janganlah kerananya menyebabkan kita jauh
daripada Allah.
v. Kita layanilah anak yatim dengan
sebaiknya. Berkata-katalah dengan baik terhadap mereka.
●Penutup
Demi jiwa-jiwa yang kembali suci,
Demi hati yang kini putih-fitri,
Demi Takbir yang menggema di langit
Ilahi.
Semoga *kemenangan* ini menjadi
hakiki.
《May Allah give us
ability to practice what had been said/written》
اَمِين يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن
Wassalam.
No comments:
Post a Comment