السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّ حِـــــــيمِ
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Kuliah Maghrib@Surau Jumaat An-Najjah, Presint 9, Putrajaya: 31 Disember 2019/ 5 Jumadilawal 1441H (Selasa) oleh Ustaz Zainol Hanif.
Sumber: Kitab Penawar Bagi Hati, Fasal 19: Asy Syeikh Abdul Qodir bin Abdul Muttolib
●Pendahuluan
-Manusia yang bersifat khauf disukai Allah. Ia tidak bersifat berlebihan dan melampau.
-Bila bersangatan takut seseorang maka ia akan mendekatkan diri kepada agama dengan mentaati segala perintah dan meninggalkan segala larangan Allah.
-Orang yang khauf dan harap kepada Allah maka ia akan sentiasa takut kepada Allah.
-Bagi mendapat rasa khauf, maka hendaklah kita mencari ilmu, memperbanyakkan beramal, membuat kebaikan dan banyak bergaul dengan orang alim.
-Sabda Nabi saw: “Jangan mati (salah)seorang (daripada) kamu pada satu kelakuan daripada segala kelakuan melainkan pada kelakuan membaikkan ia akan sangka dengan Allah Taala”.
Makna Takut Kepada Allah (Khauf):
-Ketahuilah oleh mu bahawasanya takut itu pedih hati dan sakit ia dengan sebab yang dibenci pada masa yang akan datang.
-Dan terkadang adalah takut itu kerana dosa.
-Dan terkadang ada ia kerana mengenal sifat Allah Taala.
-Dan yang kedua ini lebih sempurna daripada yang pertama kerana bahawasanya orang yang mengenal akan Allah Taala tidak dapat tiada takut ia akan dia.
-Berfirman Allah Taala pada Surah Fathir Ayat 28: “Hanya sanya [yang paling] takut akan Allah Taala daripada segala hamba NYA oleh sekelian orang alim”.
-Dan bahawasanya perasaan takut itu timbul mengikut kepada pengenalan (kepada sesuatu) dan barangsiapa banyak pengenalannya (terhadap sesuatu) maka nescaya banyaklah takutnya kepada sesuatu itu.
Dan barangsiapa sedikit pengetahuannya (kepada sesuatu maka) nescaya sedikitlah oleh takutnya kepada sesuatu itu.
Kerana banyak sedikit pengetahuan seseorang terhadap sesuatu ini lah maka bersabda Nabi Muhammad saw “aku lebih takut akan Allah Taala (berbanding) daripada kamu”.
Maka jangan nak mengada-ngada nak buat sesuatu lebih daripada apa yang aku buat.
Kerana adalah Nabi Muhammad saw itu lebih banyak pengetahuannya berbanding daripada orang lainnya.
-Dan bahawasanya takut itu adalah salah satu kelakuan yang dipuji oleh Islam.
Telah menghimpunkan oleh Allah Taala akan empat perkara bagi sekelian yang takut akan Allah Taala.
1. Pertama, petunjuk
2. Dan kedua, rahmat.
3. Dan ketiga, pengetahuan.
4. Dan keempat, redha daripadanya oleh Allah Taala.
-Kerana berpandukan kepada firman Allah Taala pada Surah Al A’raf, ayat 154: “Petunjuk dan rahmat bagi sekelian mereka yang takut akan tuhan mereka itu”.
Dan firman Allah pada Surah Fathir Ayat 28, “Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.”
-Dan firman Allah lagi dalam Surah Al Bayyinah, ayat 8: “Telah redha Allah Taala daripada mereka itu dan redha mereka itu daripada NYA, yang demikian itu bagi mereka yang takut akan tuhannya”.
-Dan ketahuilah oleh mu akan bahawasanya engkau dapat menghasilkan takut itu dengan dua perkara :
(1) Pertama, dengan pengetahuan dan pengenalan.
Maka mereka yang mengetahui ia akan kebesaran Allah Taala dan akan terkaya Allah daripada segala makhlukNya akan takut kepada Allah Taala.
-Dan mengetahui ia akan bahawasanya menjadikan Allah akan syurga dan api neraka itu untuk menjadi balasan kepada mereka yang taat dan mereka yang derhaka dan menjadikan Allah akan siapakah penduduk yang mendiami bagi antara keduanya.
Dan tiada mengetahui ia akan bahawasanya adakah ia termasuk di dalam penduduk syurga atau dia termasuk di dalam penduduk api neraka.
Maka tak dapat tiada daripada merasa takut ia akan Allah Taala dengan sebab pengetahun dan pengenalan ini.
(2) Dan yang kedua, dengan memandang kepada sekelian mereka yang takut kepada Allah dan menilik ia akan bagaimanakah kelakuan mereka itu dan mendengar apakah perkhabaran mereka itu tentang takut kepada Allah Taala.
-Bandingannya sama seperti seorang kanak-kanak yang tiada takut ia akan ular kerana tiada mengetahui ia akan bahawasanya ular itu boleh mensebabkan ia jatuh kepada kebinasaan.
-Bersalahan pula bapa bagi budak itu maka takut ia akan ular kerana mengenal ia akan mudharat dengan sebab dipatuk itu ular.
-Tetapi apabila melihat kanak-kanak itu akan ayahnya yang takut akan ular dan lari ia daripadanya dan gementar badannya kerana mengetahui ia akan mudharat ular itu nescaya mengikut kanak-kanak itu akan ayahnya pada ketakutannya dan merasa ia di dalam hatinya akan takut seperti mana takut ayahnya sekalipun tiada ada ia mengetahui akan sifat mudharat ular itu.
-Dan ketahuilah oleh mu bahawasanya takut itu bolehlah diibaratkan seperti cemeti yang menghalau ia akan hamba kepada berusaha mendapatkan tuah akhirat.
-Tetapi tiada sayugia ia bahawa jika berlebih-lebihan ia hingga membawa kepada putus asa ia daripada rahmat Allah Taala kerana yang demikian itu dicela pada agama Islam.
-Bahkan apabila bersangatan takutnya itu maka hendaklah mencampurkan ia akan dia dengan meng]harapkan akan rahmat Allah Taala.
-Dan sayugialah ia bahawa lebih kuat takut daripada harap selama ada ia mengerjakan dosa.
-Adapun orang yang taat yang tiada ada maksiatnya maka sayugia sama banyak oleh takutnya dan harapnya.
-Seperti Saidina Umar ra berkata ia, “jika diseru, hendaklah masuk syurga sekelian makhluk kecuali seorang laki-laki nescaya aku takut bahawa adalah aku demikian itu laki-laki, dan jika diseru, hendaklah masuk api neraka oleh sekelian makhluk kecuali seorang laki-laki nescaya aku harap bahawa adalah aku demikian itu laki-laki”.
-Dan adapun apabila hampir ia akan mati maka bermula harap dan baik sangka dengan tuhannya lebih utama baginya.
-Sabda Nabi Muhammad saw: “Jangan mati salah seorang daripada kamu pada satu kelakuan daripada segala kelakuan melainkan pada kelakuan membaikkan ia akan sangka dengan Allah Taala.”
-Dengan bahawa harap ia akan rahmat dan maaf Allah Taala kerana pada ketika hampir mati itu tiada ada faedah bagi takutnya.
-Dan bahawasanya harap tu menyalahi ia akan cita-ciat dengan bahawasanya harap itu bergantung hati dengan yang digemari pada hasilnya pada masa akan datang serta berusaha ia pada sebab bagi hasilnya seperti mereka yang menajak ia akan sawah dan menanam ia padanya akan padi maka harap ia akan mendapat padi pada ketika mengetam.
-Dan bahawasanya cita-cita itu bergantung hati dengan yang tersebut dengan tiada berusaha pada menghasilkan yang digemari itu seperti mereka yang mencita-cita ia akan mendapat padi dengan tiada menanam padi atau mencita-cita ia akan mendapat anak dengan tiada ia berkahwin.
-Kerana perbezaan tersebut berfirman Allah Taala, “bahawasanya mereka yang beriman dan mereka yang berpindah daripada negeri kufur kepada negeri iman dan bersungguh-sungguh mereka itu pada meninggikan agama Allah Taala (dan)bermula mereka itu harap akan rahmat Allah Taala dan Allah Taala amat pengampun lagi amat kasih sayang.”
-Dan bahawasanya faedah bagi harap itu gemar pada menuntut akan yang diharapnya.
-Dan faedah bagi takut itu gemar pada lari daripada yang ditakutinya itu.
-Dan barangsiapa harap ia akan sesuatu nescaya menuntut ia akan dia.
-Dan barangsiapa takut akan sesuatu nescaya lari ia daripadanya.
-Dan sekurang-kurang pangkat takut itu barang yang mensebabkan ia akan meninggalkan dosa dan akan berpaling daripada dunia.
-Dan barang yang tiada mensebabkan akan yang demikian itu maka ia perkhabaran hati bukan takut.
-Bahkan bermula takut itu apabila sempurna ia nescaya mensebabkan ia akan zuhud daripada dunia.
-Maka sekarang menyebut hamba akan zuhud dan maknanya.
●Penutup
《May Allah give us ability to practice what had been said/written》
اَمِين يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن
Wassalam.
No comments:
Post a Comment