Sunday, 9 February 2020

PERKONGSIAN NOTA KULIAH (33/2020): KELEBIHAN DAN INTIPATI SURAH AL-MULK


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّ حِـــــــيمِ
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Kuliah Subuh@Surau Jumaat Putra Al-Amin (SPAA), Presint 8, Putrajaya: 9 Feb 2020 / 14 Jumadilakhir 1441H (Ahad) oleh Ustaz Mohd Zarifi Mohamad Daud
(Pegawai JAKIM).


●Pendahuluan

-Diriwayatkan oleh Jabir r.a bahawa sudah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW tidak akan tidur selagi tidak membaca Tabarakallazi biyadihil Mulk dan Alim Lam Miim Sajadah.”

-Surah as-Sajjadah (30 ayat) dan surah al-mulk (30 ayat).

-Namun Nabi saw tidak pula mewajib umatnya membaca kerana kepayahannya.

-Dalam hadith dinyatakan bahawa surah al-Mulk akan menjadi penyelamat dan pendinding dalam kubur.



-Sabda Nabi saw: “Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda: “Al-Quran mengandungi satu surah terdiri daripada tiga puluh ayat yang akan mensyafaati pembacanya sehingga dia diampunkan iaitu Tabarakallazi biyadihil Mulk.” 

-Saidina ‘Abdullah bin Abbas berkata: “Sesiapa membaca surah Al-Mulk sehingga menjadi amalan wiridnya, nescaya ia mendapat bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT di dalam kuburnya. Bila azab hendak datang ke kepala, terdengar satu seruan: “Tidak boleh engkau datang ke pihak kepala ini kerana ada Surah Al-Mulk.”

-Nabi saw juga ada mengajar kita untuk kita mengamalkan satu doa bagi memohon perlindungan dan azab kubur iaitu “Allahumma inni a’uzu bika minal ‘ajzi wal kasali wal jubni wal harami wal bukhli, wa’auzu bika min ‘azabil qabri wa ‘auzu bika minfitnatil mahya walmamati” bermaksud: “Ya Allah, aku berlindung dengan Mu daripada kelemahan, malas, penakut, pelupa, bakhil dan aku berlindung dengan Mu daripada seksa kubur dan fitnah hidup dan mati.”(HR: Muslim)

-Justeru hendaklah kita dan semua ahli keluarga kita membaca surah al-Mulk sebelum tidur.

-Namun ia bergantung dengan cara sisi kita memandangnya. Jika kita sekadar hanya dengar hadith sahaja maka kita tidak akan mengamalkannya.

-Kemudian kita hendaklah bertaddabur dengannya.

-Surah al-Mulk adalah surah al-Makkiah. Ianya mempunyai 30 ayat dengan 1113 huruf. 

-Ia turun pada tahun-tahun terakhir Nabi saw di Mekah sebelum berhijrah iaitu antara tahun 11 dan 12 hijrah.

-Pada tahun-tahun terakhir Nabi saw di Mekah sebelum berhijrah, Nabi saw mula membuat usaha dakwah secara terang-terangan dan telah mendapat tentangan yang hebat daripada orang-orang arab Jahilliah.

Pada tahun-tahun terakhir sebelum hijrah adalah masa kesedihan Nabi saw. Terdapat tiga peristiwa kesedihan Nabi saw yang besar.

(1) Pada tahun-tahun terakhir Nabi saw di Mekah, bapa saudara Nabi saw Abu Talib telah sakit dan meninggal dunia. Di saat kematiannya, Nabi saw meminta Abu Talib untuk mengucap syahadat namun ia tidak mengucapkannya. Bahkan ia menyatakan bahawa ia mahu kekal pada agamanya.

-Nabi saw amat sedih. Pada masa tersebut turunlah ayat 56, surah al-Qashash: “Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi hidayah (petunjuk) kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi hidayah kepada orang yang Dia kehendaki, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk”.

-Surah at-Taubah, ayat 113: “Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya), sesudah jelas bagi mereka bahwa orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka Jahannam.”

(2) Pada tahun sebelum hijrah itu jugalah isteri Nabi saw Saidina Khadijah ra yang telah banyak membantu Nabi saw dan dakwah Islam telah wafat.

(3) Nabi saw pergi ke Taif pada tahun-tahun terakhir di Mekah untuk berdakwah kepada mereka. Namun Nabi saw telah ditolak. Nabi saw telah diperlekehkan dan bahkan dibaling batu oleh anak-anak muda Taif.

Intipati Surah al-Mulk:
-Surah pertama dalam juzuk 29. Juzuk 29 temanya adalah dakwah. Ia mempunyai 3 perkara utama:

1. Kekuasaan Allah yang menentukan segalanya.
2. Dalil kekuasaan dapat dlihat pada bumi, bulan dan burung.
3. Allah mengancam apa yang akan berlaku terhadap orang tidak mahu beriman.

-Surah al-mulk terletak dekat dengan surah al-Tahrim.

-Ayat 1, surah al-Mulk: “Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;”

-Dalam ayat pertama ini, Allah memberi clue atau kesimpulan awal kepada surah ini.

-Seorang pengkaji barat iaitu Dr Garry Miller, ia cuba untuk mencari-cari kelemahan al-quran.
Namun ia tidak menemuinya. Antaranya ia menyatakan bahawa tidak ada dalam al-quran tentang kewafatan Saidina Khadijah ra. Ini menunjukkan al-quran tidak ditulis oleh Nabi saw.

-Ibnu Abas menyatakan bahawa maksud ayat ini, Allah berkuasa untuk melakukan semua perkara dan boleh dirangkumkan kepada 7 perkara:

1. Allah berkuasa untuk memerintah dunia dan akhirat.

2. Allah berkuasa mengurniakan kemuliaan kepada sesiapa sahaja yang  Allah kehendaki.
-Jadi jangan kita memandang rendah pada orang lain. Allah boleh memuliakan sesiapa sahaja.

3. Allah berkuasa untuk menghina sesiapa sahaja yang Allah berkehendakkan.
-Jadi jangan kita leka bila kita di atas dan dimuliakan.

4. Allah berkuasa untuk menghidupkan.

5. Allah berkuasa untuk mematikan.
-Hendaklah kita bersedia dengan bekalan akhirat.

6. Allah berkuasa memberi kekayaan dan memiskinkan.

7. Allah berkuasa memberi dan menyekat nikmat.

-Allahlah yang boleh memberi keberkatan. Maka kita mohonlah keberkatan daripada Allah.
Contohnya, bila kita bersahur adalah untuk kita mendapat keberkatan.

-Ayat 2, surah al-mulk: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);”

-Dalam ayat ini, Allah sebut dahulu perkataan kematiaan dahulu sebelum kehidupan.

-Ia adalah untuk manusia faham dan tahu bahawa kematian itu satu perkara yang benar.

-Allah menghina manusia dengan kematian.

-Surah al-Baqarah, ayat 28: “Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).”

-Semasa kita baru dibentuk sperma hasil penyawaan ibubapa kita, itu adalah kematian kita pertama. Kemudian kita dilahirkan dan kita hidup di dunia dan kemudian kita dimatikan. Kemudian selepas dimatikan, kita dihidupkan untuk dihitung amalan kita.

-Sebab lain Allah sebut kematian dahulu kerana pada tahun terakhir nabi saw berdakwah di Mekah, orang jahilliah tidak percaya adanya kematian dan adanya hidup selepas mati.

-Allah bagi tahu dalam ayat ini bahawa manusia akan diuji dengan kesusahan dan kesenangan.
-Lazimnya kita mudah ingat Allah bila kita susah.

-Sesungguhnya hendaklah kita ingat Allah waktu senang dan susah.

-Ujian terbesar buat anak-anak ialah untuk menjaga ibubapa bila mereka telah tua dan sakit terutamanya jika dalam keadaan terlantar sakit.

-Sabda Nabi saw: “Seseorang itu jika Allah berkehendakkan kebaikan kepadanya maka Allah akan uji dia.”

-Ayat 2, surah al-Mulk: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);”

-Di sini Allah menyatakan bahawa Allah hendakkan amalan yang paling baik. Bukan hanya yang banyak amalan sahaja.

-Ulamak menyatakan bahawa amalan yang paling baik ialah siapa yang paling taat kepada Allah.

-Dua ciri amalan yang paling baik ialah:
1. Amalan paling ikhlas
2. Amalan paling tepat mengikut apa yang diajar oleh Nabi saw.

-Ayat 3, surah al-mulk: “Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan - (mu) - dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?.”

-Allah suruh kita tengok langit.
Nabi saw yang pernah tengok 7 petala langit.

-Semua hamba Allah mendapat ar-Rahman daripada Allah samada ia beriman atau tidak.

-Tetapi Ar-rahim hanya Allah beri pada orang beriman yang taat.

-Langit amat sensitif kepada hamba Allah yang mensyirikkan Allah. Tetapi kerana sifat Ar-Rahman Allah, Allah tangguhkannya musibah dan kehancuran besar bagi orang yang kufur.

-Ayat 7 & 8 surah al-Mulk:
“Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak.”

-“Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (dari orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka: "Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?"

Ayat 7 dan 8 ini Allah rakamkan dialog ahli neraka.

1. Mereka minta untuk mereka dikeluarkan daripada api neraka dan mereka hendak kembi ke dunia untuk beramal dan bersedekah.

2. Mereka minta diringankan siksaan

3. Mereka minta mati sahaja. Tidak mahu ada kehidupan sebelum kematian.
-Ahli neraka ia disiksa sehingga hancur dan selepas hancur disiksa ia di hidupkan semula dan terus disiksa semula berterusan.

Ketiga-tiga permintaan tidak diterima. Terus menangis sehingga keluar air mata darah.

Inilah gambaran ahli neraka. Siapa ahli neraka?
-Ia adalah orang yang kufur. Tidak taat. Orang mementingkan keduniaan dan melupakan akhirat.

-Penutup ayat ini, ditanya kepada ahli neraka, tidakkah kamu diberi peringatan.

-Ayat 9, surah al-Mulk;
Mereka menjawab: "Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (wahai orang yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada dalam kesesatan yang besar! "

-Ayat 19, surah al-Mulk: “Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

-Ayay ini adalah berkaitan dengan teori keseimbangan.

-Kita perhatikan alam untuk kita perteguhkan keimanan kita.

Kisah burung ababill:
-Surah al-fill. Burung didatangkan oleh Allah untuk memusnahkan tentera bergajah.

-Surah al-Fill, ayat 3: “Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan,”

-Tidak kamu fikirkankah merekalah yang membantu datuk nenek kamu.
Kisah burung dalah kisah nabi Musa as.

-Jadi kita lihat betapa banyaknya petunjuk yang boleh kita perolehi dengan memerhati kepada burung

-Surah al-mulk ini jika kita bertaddabur dengan sebenarnya ia menuntut kita beriman kepada Allah dengan sepenuhnya. Sesungguhnya, semuanya dalam kekuasaan Allah.

●Penutup

《May Allah give us ability to practice what had been said/written》

اَمِين يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن
Wassalam.

No comments:

Post a Comment